Pakar Genetik Perjelas Asal Usul Manusia Dari Melayu Proto

MK – Seorang pakar genetik Universiti Oxford, Dr Stephen Oppenheimer berkata beliau terkejut apabila melihat betapa kajian ke atas asal usul warga pribumi di negara ini dijalankan mengikut pertimbangan politik.

Reaksi seperti itu dapat dikesan melalui laporan media ke atas satu persidangan mengenai asal usul orang Melayu minggu lalu, yang mendedahkan bahawa Orang Asli daripada suku Senoi, Semang dan Melayu Proto merupakan “pemegang obor” yang merintis tamadun manusia moden.

Oppenheimer ketika menjelaskan penemuan itu dalam satu wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu berkata, Orang Asli khususnya dari suku Semang dan Melayu Proto merupakan keturunan daripada manusia pertama yang menjejakkan kaki ke Asia Tenggara.

Keturunan manusia itu, di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Pentas Sunda ini juga menjadi nenek moyang kepada keturunan mereka di Asia Timur dan juga di benua Amerika, katanya.

Keturunan Semang dan Melayu Proto itu mempunyai ciri khas dan unik, sama seperti keturunan yang tersebar daripada kawasan Pentas Sunda, kata Oppenheimer lagi.

Perkara itu menunjukkan bahawa masyarakat tersebut telah wujud di sini semenjak penduduk awal tiba di kawasan ini, tambahnya.

Beliau menjalankan kajian tersebut ke atas sampel DNA yang diperolehi daripada penduduk serata dunia untuk menentukan asal usul masyarakat dunia – bermula daripada manusia pertama di Afrika sehingga kepada warga Eropah di teluk Arab dan juga tanah warga Asia timur di Pentas Sunda.

Oppenheimer berada di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu untuk membentangkan kajiannya di persidangan Asal Usul Melayu: Induknya di Alam Melayu, anjuran Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Beliau telah menerbitkan kajiannya sebelum ini melalui buku Eden in the East dan juga Out of Eden yang memperincikan teorinya mengenai migrasi penduduk awal dunia.

Pembentangan kajiannya boleh dilihat di laman yayasan Bradshaw Foundation, satu badan yang bergiat dalam kajian genetik, antropologi dan arkeologi.

Waktu Solat dan Warna Alam

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing.

Waktu subuh di Masjid Nabawi

Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Solat Jumaat di Masjidil Haram

Jumaat-1024x768

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita

Menjelang senja

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Solat Isyak di Masjidil Haram

isyak-1024x768

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Sumber: detikislam.blogspot.com

Mitos Sejarah Tamadun Melayu

Sejarah Tamadun Melayu Dari Sumber Lisan, Mitos & Lagenda

Asal Usul Melayu

Jika mengikut kajian saintifik mengenai sejarah tamadun Melayu, realitinya masih samar dan tidak mempunyai asas yang konkrit. Terdapat banyak sebab mengapa hujah atau fakta sains masih belum terpakai sebagai sumber sahih. Satu antarannya ialah tiada lagi bukti-bukti sainstifik didapati atau dijumpai kerana tidak dibuat dengan serius. Kita setakat ini hanya mengharapkan pakar dari luar iaitu pakar-pakar dari negara barat atau eropah. Majoriti mereka ialah bangsa bekas penjajah kita. Tentu sekali kencenderungan mereka tidak sepenuh hati dan ikhlas. Mereka yang ikhlas pula tidak mendapat kerjasama sesama mereka dan apabila kita mengajukan permohonan kita yang memerlukan perkhidmatan mereka, institusi yang mengawal mereka tidak mengizinkannya. Pendek kata, sesuatu ilmu atau jumpaan baru sama ada teknologi atau fomula mathematik, sains atau falsafah,sejarah dan sebagainya, kepada mereka adalah untuk manfaatkan bagi kepentingan diri mereka sendiri. Orang berilmu adalah tuan kepada orang yang tidak cerdik dan itu adalah sumpah dan prinsip hidup mereka.

Tun Sheikh terasa sudah begitu lama kita didiskriminasi tetapi bangsa kita senang pula begitu sebab mentaliti atau pemikiran kita sudah sekian lama diracuni sejak era atau zaman penjajahan beratus tahun dahulu. Jika kita menghayati sejarah Islam, ilmu dan tamadun islam diagih-agih dan tersebar di seluruh pelusuk dunia.Tiada penindasan dan penganiayaan. Hasil ciptaan atau penemuan baru dinikmati bersama. Sayangnya kerajaan kita tidak berminat dengan falsafah hidup dan hidup seharian secara Islam. Akibatnya, pelbagai ilmu dan teknologi rahsia kehidupan dimonopoli mereka dan kita dijadikan sebagai bangsa pengguna yang terpaksa membayar mereka. Dengan lain perkataan sebenarnya mereka menikmati kemewahan hidup hasil dari wang ringgit kita yang membeli kepakaran dan peralatan mereka.

Sehubungan dengan itu, Tun Sheikh ingin mencatat beberapa jumpaan berkaitan sejarah yang boleh membuka minda kita meskipun dari sumber lisan, mitos mahupun lagenda. Tun Sheikh yakin ada di antara anak cucu kita nanti akan dapat mengkajinya secara saintifik apabila kita telah berkemampuan. Jika kita tidak meninggalkan rekod dan catatan sejarah kebudayaan sejarah kita, lambatlah pula kuputusan kajian sains mereka kerana tiada maklumat pun mengenai sejarah kita.

Ketika Tun Sheikh menuntut di Universitas Indonesia suatu ketika dahulu, Tun Sheikh pernah didedahkan oleh para ahli arkeologi Indonesia mengenai Orang Wajak seusia Orang Peking tetapi dunia menolak dapatan mereka mentah-mentah kerana gagal membuktikan secara sainstifik. Mereka hanya menganggapnya sebagai hipotesis sahaja. Ujian atau kaedah sainstifik bagi membuktikan kesahihan pula dikawal oleh mereka.Perkara itu tengelam begitu sahaja.

Suatu pengalaman yang menarik ialah dapat melihat tengkorak Orang Wajak yang berusia puluhan ribu tahun itu. Oleh kerana tidak lengkap rangkanya dan tidak terjumpa hasil budaya lain termasuk kesinambungan atau pelanjutan kumpulan selepas Orang Wajak itu secara turutan kronologi maka sehingga ke hari ini ia hanya seperti misteri.Orang Wajak dikaji terus oleh pakar-pakar dari Barat tetapi belum satupun kesimpulan mengakui di Indonesia telah mempunyai tamdun tinggi dunia. Sebabnya tidak diumumkan kerana tidak mahu kelihatan dunia timur atau bangsa Melayu lebih bertamadun dari dunia barat.

Satu lagi pengalaman yang amat menarik ialah dapat melihat kerangka Nenek-moyang Toraja berusia 3500-5000 tahun yang diawet dengan begitu seni, rapi dan tinggi mutu budaya awetannya. Ini dinilai dengan melihat masih terdapat cebisan daging dan otot serta kulit yang masih terdapat pada tubuh manusia Toraja yang diawet itu. Ini membuktikan ilmu atau budaya mengawet manusia atau mayat manusia telah diamalkan dan membudaya dalam masyarakat Toraja. Siapakah mereka ini? Mereka dianggap sebagai datuk nenek moyang orang Sulawesi atau orang Bugis. Mereka mempercayai diri mereka adalah dari keturunan Nabi Sulaiman dan Balqis yang telah membawa diri mencari kehidupan di sebelah timur. Sayangnya kemahiran dan kepakaran dalam kebudayaan mereka mengawet mayat tidak diiktiraf oleh dunia barat. Mereka telah mengkaji Orang Toraja itu tetapi tiada sebarang keputusan, kenyataan dan kesimpulan dikeluarkan kecuali mengatakan itu adalah teknik baru yang ditiru dari orang barat. Padahal hingga ke hari ini belum ada lagi bukti kedapatan orang barat mati dan mahir mengawet kecuali yang mati terbenam dalam salji atau ais.

Terdapat pula maklumat dan rekod di zaman kecemerlangan tamadun Mesir dengan raja-raja hebatnya yang terkenal sebagai Firaun. Raja-raja Firaun telah memperkenalkan budaya mengawet mayat yang dibungkus dengan kain dan rempah-ratus. Anggota dalaman dibuang atau dikeluarkan terlebih dahulu. Jika mengikut ahli sejarah, budaya mummy ini dilakukan sekitar tahun 2500 sm. Rekod Mesir purba mencatat bahawa rempah ratus dibawa dari kepulauan timur jauh. Adakah ini ada kaitan hubungannya dengan kebudayaan orang Toraja? Ahli sejarah dan para sarjana Barat tidak bersedia mengaitkan kebudayaan ini tetapi mungkin anak cucu kita nanti akan berjaya membuktikannya pada suatu hari nanti.

Sejarah moden kita hanya mencatat budaya dan tamadun Melayu bermula sekitar awal abad pertama. Ini pun masih disangsikan oleh para sarjana Barat. Mereka tidak mempercayai sumber lagenda dan mitos yang begitu banyak di Nusantara berkenaan rumpun Melayu yang memiliki banyak persamaan budaya dan asal-usul penempatan. Sejarah Melayu Melaka hanya dipersetujui bermula pada 1400 dan ditawan pada tahun 1511. Padahal jika mengikut perkiraan dan bukti-bukti tempatan, tamadun Melayu Melaka telah bermula sejak 1262 atau mungkin lebih awal lagi. Tetapi bagaimana pula dengan terdapatnya catatan kedudukan gunung Ledang di dalam Zabur dan Taurat yang dirahsiakan oleh padri-padri otodok mereka kerana gunung Ledang adalah mercu tanda tanah timbunan emas yang akan digunakan untuk perjuangan agama di akhir zaman sebagaimana dalam kitab suci mereka dan penceritaan Israeliat itu?

Insyaallah Tun Sheikh akan nukilkan hal ini dilain kesempatan. Ini telah disahkan oleh Pop Besar Rom Itali. Tun Sheikh menemui hal ini ketika sama-sama mengkaji sejarah Muar ketika menjalankan projek sejarah dari sumber lisan, mitos dan lagenda bersama Yayasan Warisan Johor pada awal 2002 dahulu. Tujuannya adalah untuk sama-sama kita fikirkan asal-usul Melayu kita. Melayu yang diperlekeh oleh pemimpin kita sendiri kerana itulah strateji tersirat penjajah Barat yang datang ke sini dengan misi suci agama dan misi untuk mencari kekayaan. Mereka juga membuat perancangan sehingga Melayu dibodohkan oleh orang Melayu sendiri melalui pemimpin Melayu yang telah mereka racuni dengan pemikiran Barat.

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara

Sumber: sejarah-tunsheikh.blogspot.com

Sejarah Penubuhan Malayan Union 1946

PENUBUHAN MALAYAN UNION
Oleh
Tun Sheikh Engku Bendahara

Ketika Tanah Melayu diperintah Jepun pada tahun 1943, Pejabat Tanah Jajahan British dan Pejabat India British telah merangka sebuah kerajaan baru untuk Tanah Melayu dan telah dipersetujui oleh kerajaan British di London. British begitu yakin akan berjaya menawan Tanah Melayu semula daripada Jepun berikutan kejayaan Tentera Berikat di Eropah menawan semula beberapa negara daripada Jerman. Bentuk pemerintahan baru ini telah dirangka tanpa perwakilan dan pengetahuan orang Melayu kerana British menganggap kedaulatan Tanah Melayu tidak lagi wujud setelah kalah dalam peperangan. Kerajaan baru ini dikenali sebagai Malayan Union. British menganggap hak mutlaknya untuk menentukan bentuk pemerintahan dan kerajaan Tanah Melayu apabila berjaya mengusir Jepun.

Tujuan utama penubuhan Malayan Union ialah untuk memiliki dan menguasai Tanah Melayu. Tanah Melayu juga ialah sebuah negeri yang kaya dengan sumber ekonomi daripada sumber bumi. Kedudukan geografi Tanah Melayu pula sangat sesuai dijadikan sebagai sebuah negeri pengguna dan agen pasaran barangan dagangan Inggeris di timur. Selain itu, British juga telah menjangkakan akan kehilangan beberapa buah negeri tanah jajahannya akibat Peperangan Dunia Kedua. Daripada pengalaman pentadbiran pula, Tanah Melayu dianggap mudah diperintah kerana orang Melayu dianggap mempunyai budi bahasa yang tinggi, bersikap lemah lembut dan mudah mengikut telunjuk.

Berita rancangan Inggeris menubuhkan Malayan Union telah tersebar luas dalam akhbar-akhbar di India dan London. Berita ini juga segera mendapat liputan akhbar di Singapura dan Pulau Pinang kerana terdapat beberapa kumpulan elit dan ahli parlimen Inggeris yang tidak menyetujuinya. Ini adalah kerana kemenangan tentera Inggeris adalah dengan kerjasama Tentera Berikat dan Tanah Melayu bukanlah Tanah Jajahan Inggeris. Sebelum perang meletus, British telah berjanji untuk memulangkan kuasa Raja-raja Melayu dibawah Dasar Decentralisasi. Malayan Union dikhuatiri akan mengakibatkan huru-hara dan akan merugikan kerajaan British. Untuk mengatasi masalah itu kerajaan British telah menghantar sebuah jawatan kuasa meminta persetujuan Raja-raja Melayu yang diketuai oleh Sir Harold Mac Michael sebaik saja Jepun menyerah kalah.

Sir Harold Mac Michael telah tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945. Beliau telah berjaya memperdaya dan memujuk raja-raja negeri Melayu dengan pelbagai muslihat dan ancaman. Beliau juga telah mempergunakan nama dan pengaruh Sultan Ibrahim Johor bagi mendapatkan tandatangan raja-raja Melayu dan kembali ke London pada 26 Disember 1945. Beliau telah berjaya menyakinkan pihak kerajaan British mengenai tandatangan yang diperoleh adalah secara sukarela daripada raja-raja Melayu.

Di dalam perlembagaan Malayan Union, kesemua 9 buah negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Singapura tidak dimasukkan kerana British menganggap Singapura telah menjadi milik mutlak Inggeris yang diperoleh melalui perjanjian dengan Sultan Hussin. Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.

Sebelum perang meletus, orang Melayu telah terdedah dengan pelbagai pandangan agar pihak Inggeris tidak memperkecil keupayaan dan hak-hak orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Masalah pendidikan, ekonomi dan pengambilan pegawai dan kakitangan kerajaan dianggap tidak seimbang kerana British mengenepikan orang Melayu. Kerajaan British juga terus membawa masuk sebegitu banyak buruh asing dan hal ini tidak disenangi oleh cendekiawan Melayu kerana mewujudkan keadaan yang tidak seimbang dalam pola masyarakat.

Apabila Sir Harold Mac Michael datang dan berjaya mendapat tandatangan raja-raja Melayu, orang-orang Melayu berasa yakin bahawa segala yang dijanjikan oleh British sebelum perang untuk memulangkan kuasa raja-raja adalah pembohongan belaka. Penjelasan British yang menyatakan Malayan Union adalah ke arah persediaan untuk bekerajaan sendiri tidak dapat diterima oleh orang-orang Melayu kerana perlembagaan Malayan Union itu sendiri akan melenyapkan maruah dan ketuanan Melayu.

Dalam suasana kebimbangan dan bercampur marah itu Dato Onn telah diminta mengetuai orang Melayu kerana beliau pernah menyeru supaya orang Melayu bersatu padu untuk membaiki nasib di tanah air sendiri. Gagasan fikiran dan pandangannya di akhbar-akhbar sebelum perang dan cita-citanya untuk menyatupadukan orang Melayu pernah diucapkan ketika menghadiri Kongres Melayu di Singapura pada tahun 1940. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat sesuai untuk semua golongan masyarakat dari rakyat biasa hingga kerabat diraja termasuk berhadapan dengan pegawai-pegawai tertinggi Inggeris kerana latar belakangnya.

Sehubungan dengan itu, Dato’ Onn yang baru saja berjaya mengamankan pergaduhan kaum di Batu Pahat segera menyeru perpaduan Melayu melalui akhbar-akhbar untuk menentang Malayan Union. Beliau telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung pada 3 Januari 1946. Beliau telah menyeru agar orang Melayu segera berkumpul dan bersatu padu dan telah mendapat sokongan serta kerjasama yang tidak berbelah bagi hingga terlangsunglah perjumpaan pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan Melayu dari seluruh negara dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Sebelum itu, seruan Dato’ Onn telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu di beberapa negeri dan berjaya mengadakan rapat-rapat umum membantah penubuhan Malayan Union. Di Kuala Kangsar, lebih 25,000 orang telah mengadakan perarakan raksasa membantah Malayan Union pada 15 Januari 1946. Tetapi pada 22 Januari 1946 pihak British tetap meneruskan agendanya mengumumkan penubuhan Malayan Union yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 1946. Dua hari selepas itu, sekali lagi Dato’ Onn menyeru melalui akhbar Majlis mencadangkan pertemuan dan perpaduan Melayu dalm satu kongres disegerakan.

Di merata negara, perarakan-perarakan kecil telah diadakan. Pada 2 Februari 1946 satu perarakan seramai lebih 36,000 orang telah berjaya diadakan di Kota Bharu Kelantan. Di Batu Pahat sendiri telah diadakan perarakan besar-besaran dan seramai 18,000 orang Melayu telah keluar berjalan kaki ke Bandar Batu Pahat mengikut serta menunjuk perasaan membantah Malayan Union pada 10 Februari 1946. Ikrar membantah penubuhan Malayan dibaca oleh Kiai Salleh. Sepanjang perarakan, slogan ‘Hidup Melayu’ terus dilaungkan dan bergema di sana sini. Perarakan yang bermula di Jalan Sultanah berkhir di Padang Pejabat Kerajaan Batu Pahat. Di sini, Dato’ Onn telah berapi-api memberi ucapan menentang Malayan Union dan mengecam kerajaan British sebagai tidak berprikemanusiaan merampas hak orang Melayu..

Di dalam Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946, PEKEMBAR atau UMNO ditubuhkan tetapi kerajaan British tetap berhasrat mengadakan majlis pengistiharan Malayan Union dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gents pada 1 April 1946. Sehari sebelum pengistiharan, Dato’Onn telah mengadakan Mesyuarat Tergempar PERKEMBAR di Kuala Lumpur untuk bertindak mengadakan perarakan dan memujuk raja-raja Melayu memulaukan majlis. Orang-orang Melayu juga diseru supaya berkabung dengan memakai songkok berlilit putih dan berbaju putih selama seminggu. Hal ini telah berjaya dilakukan dan pihak British amat terkejut apabila raja-raja dan pembesar Melayu memulaukannya manakala beribu-ribu orang Melayu berkumpul di hadapan Station Hotel, Stesen Kereta api Kuala Lumpur membantah penubuhan Malayan Union.

Walau pun begitu, British tetap meneruskan rancangannya kerana berasa yakin raja-raja dan pembesar Melayu masih menyokong dan menyebelahi kerajaan British. Jentera kerajaan juga tidak lumpuh kerana majoriti kaum yang berkhidmat dengan British adalah terdiri daripada kaum pendatang. Gabenor yang dipulaukan terus menjalankan tugas tetapi akhirnya berhadapan dengan pelbagai kesulitan apabila raja-raja dan pembesar Melayu serta pegawai-pegawai tinggi Melayu bersikap berkecuali dan pasif. Beliau mengambil iniasiatif dengan memujuk agar Malayan Union diterima tetapi beliau sendiri berasa simpati kerana kerajaan British dianggap telah bertindak begitu jauh tanpa mempedulikan maruah bangsa Melayu.

Pada 11 Mei 1946, sekali lagi pemimpin-pemimpin pertubuhan dan persatuan orang-orang Melayu berkumpul menghadiri persidangan di Istana Besar Johor Bahru dan penubuhan PERKEMBAR telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai satu persatuan mewakili seluruh orang Melayu. PERKEMBAR atau UMNO selepas itu telah menyusun secara teratur pelbagai aktiviti membantah Malayan Union hingga akhirnya Britis terpaksa tunduk mengikut kehendak UMNO merangka perlembagaan baru mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani oleh raja-raja Melayu dengan pihak Inggeris pada 21 Januari 1948 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Mulai dari tarikh itu Malayan Union dibubarkan..

Sumber Rujukan
1. Abu Bakar Hamid ..et al, UMNO Johor 50 Tahun Memartabatkan Bangsa Melayu, , Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 1996.
2. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Pejuang Terbilang Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2002.
3. Abu Bakar Hamid & Md Ismail Zamzam (Edt.), Tokoh Ternama Johor, Yayasan Warisan Johor, J. Bahru, 2003.
4. Buyong Adil, Sejarah Johor, DBP, K. Lumpur, 1980.
5. Ghazali bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukan Jepun 1942-1945, K.Lumpur 1978.
6. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid I, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1981.
7. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid II, Arkib Negara Malaysia, K. Lumpur, 1982.
8. Ramlah Adam, Dato’ Onn Jaafar Pengasas Kemerdekaan, DBP, K.Lumpur, 1992.
9. Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris, 25 Tahun Merdeka, Pustaka Budiman, K. Lumpur, 1982.
10. UMNO Bahagian Batu Pahat, Sejarah UMNO Suku Abad, UMNO Batu Pahat, 1971.
11. Barbara Watson Andaya and Leonard Y.Andaya, A History of Malaysia, Palgrave, Hampshire, 2001.

Semoga Dirahmati Allah: Izwan Pilus

Dunia hiburan pada Jumaat telah dikejutkan dengan kematian penyanyi popular Izwan Pilus, akibat jangkitan kuman dalam darah dan jangkitan kencing tikus yang serius.

Izwan, 32, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini beberapa jam selepas dimasukkan ke wad.

Pengurusnya, Shaiful Shazwan yang dihubungi mStar Online di sini mengesahkan berita sedih ini.

Katanya, Izwan meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang.

Allahyarham yang popular dengan lagu Kembali Senyum telah dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam Jumaat selepas mengadu sesak nafas dan keadaannya semakin kritikal menjelang petang.

“Allahyarham sempat bercakap dengan saya pagi tadi (Jumaat) dan dia kata dia sihat. Tidak sangka pula lain yang berlaku. Saya amat sedih,” kata Shaiful lagi.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampungnya di Jalan Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka untuk dikebumikan pada pukul 11 pagi Sabtu.

Pada awal Disember lalu, Allahyarham bersama adiknya, penyanyi Aril yang merupakan finalis Akademi Fantasia 7, pernah dimasukkan ke Hospital Pusrawi dekat sini akibat demam panas yang berpanjangan.

Anak kedua daripada empat adik-beradik ini bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital sebelum sakit semula sejak dua minggu lalu. –mstar

Sumber: greenboc.blogspot.com

Mengapa Piring ASTRO Menghadap Kiblat


Jelas, Kaabah bukan sekadar kiblat tetapi juga sebagai pusat tumpuan manusia dalam urusan dunia atau kehidupan. Contoh yang paling mudah sekali, tentu anda ada stesen televisyen berbayar iaitu Astro. Pastinya setiap Astro ada ‘piring para bola’ untuk menerima maklumat yang dipancarkan dari satelit. Untuk mendapatkan siaran yang jelas, piring itu akan dihalakan ke arah Kiblat atau Kaabah. Kalau tidak percaya cuba tengok balik piring Astro di bumbung anda menghadap ke mana?
KENAPA BEGITU? Mudah saja jawapannya Mekah adalah pusat bumi. Sama ada percaya atau tidak jawapannya mudah ditemui semasa kali pertama Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Di dalam satu temu bual di stesen TV Al Majid, Arab Saudi, Dr. Abd Al-Baset Al-Sayyed dari pusat Penyelidikan Kebangsaan Mesir mengulas, angkawasan pertama itu telah membuktikan, Mekah adalah pusat bumi.

Katanya ia telah dibuktikan secara saintifik semasa Neil Armstrong di dalam perjalanan ke bulan. Ketika itu dia berjaya mengesan satu radiasi yang dipancarkan dari bumi. Radiasi itu di dalam gelombang pendek. Situasi itu sesuatu yang pelik dan mereka cuba mencari jawapan dan membuat penelitian. Akhirnya mereka berjaya mengesan bahawa radiasi itu dipancarkan dari Mekah atau secara tepatnya dari Kaabah.

“Yang paling mengejutkan radiasi itu bersifat infiniti (tidak berpenghujung). Apabila Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, radiasi itu masih boleh dikesan. Radiasi itu mempunyai sifat yang istimewa dan paling penting ia infiniti. Saya percaya inilah yang menhubungkan Kaabah di bumi dengan Kaabah di alam akhirat.

“Bayangkan anda berada di kutub utara dan saya berada di kutub selatan,di tengah-tengah adalah zon keseimbagan magnet atau zon magnetisme sifar dan itulah Mekah. Kalau hendak dibuktikan boleh. bawa kompas ke Kaabah dan anda dapati jarum kompas itu tidak akan bergerak. Ini bermakna Kaabah adalah zon magnetisme sifar. Tarikan untuk ke dua-dua medan adalah sama kuat.

Hal sedemikian katanya, turut memberi kesan pada kesihatan dan umur seseorang. Sebab itulah orang yang tinggal di Mekah lebih sihat dan panjang umur. Tekanan graviti yang tertumpu di kawasan itu memberi kesan pada peredaran darah dan pergerakan biologi kehidupan.

“Ini telah dibuktikan bahawa ia boleh memberi kesan pada hemoglobin untuk membawa darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tusi badan. Bermakna bila anda berada di Mekah, keupayaan darah untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan secara semula jadi jauh lebih baik berbanding tempat lain di dunia ini,” jelasnya

Pelbagai bukti saintifik dari kajian para saintis juga telah membuktikan bahawa Kaabah berada di “Centre of the earth”. Jika anda berkesempatan ke Mekah Al-Mukaramah cuba bawa kompas ke arah Kaabah dan lihat jarum kompas tersebut tidak akan menunjuk mana-mana arah sama Barat, Timur, Selatan atau ke mana-mana arah kerana Kaabah sememangnya berada di pusat atau ditengah-tengah bumi. Neil Amstrong juga mengesahkan fakta ini.

Maha Kaya Allah, dengan hanya melakukan Tawaf kesihatan kita akan bertambah baik. Tidak hairanlah jika ramai yang mengetahui rahsia ini sentiasa merindui untuk ke Mekah… Bagi yang bukan Islam kaji-kajilah fakta ini dan anda pasti akan mendapat kebenaran-Nya. Marilah kita belajar ilmu dan mengkaji Islam yang amat indah ini.

Sumber: www.lamankongsi.com