Berjuang adalah sesuatu yang istimewa dan agung, di samping berat dan menyusahkan.
Istimewa dan agongnya berjuang ini keranan buahnya adalah kebahagiaan. Berat dan susah pula kerana berjuang menuntut
pengorbanan harta benda, tenaga, masa sekalipun nyawa. Berjuang ada yang kecil dan ada yang besar. Setengah manusia
berjuang sekadar mendapatkan keperluan hidup seperti makan, minum, pakaian, dan tempat tinggal. Perkara-perkara lain
tidak penting baginya.
Bagaimanapun, ada sebahagiannya berjuang untuk membebaskan tanah air, agama dan bangsa dari penjajahan. Manakala
sebahagian besarnya berjuang memburu dunia seperti kekayaan, kuasa , wanita , ilmu pengetahuan, dan apa jua yang
diyakininya boleh membahagiakan hidup. Bermacam-macam gelagat dipersembahkan di pentas dunia ini dalam manusia
memburu kebahagiaan. Soal sah batalnya, halal haramnya, tepat atau tidak, itu tidak penting bagi mereka, asalkan
matlamatnya sampai, benda yang dicari diperolehi. Sebahagian dapat apa yang diburu. Setengahnya pula gagal. Ramai
yang buru harta, dapat harta sampai jadi jutawan, yang buru kuasa dapat kuasa, yang memburu ilmu pengetahuan berjaya
sampai dapat ijazah, master dan PhD.
Begitu juga mereka yang memperjuangkan kemerdekaan agama, bangsa dan negara berjaya memperolehi kemerdekaan.
Penjajah tidak lagi memerintah. Agama dapat diamalkan secara bebas., tanpa ada sebarang halangan. Bangsa diberi hak
sepenuhnya memerintah dan mentadbir. Negara bertambah maju dan berdaulat tetapi rakyat tetap hidup berpecah-belah,
kasih sayang tidak wujud. Jatuh menjatuhkan, dengki mendengki tetap menjadi budaya pemimpin, menzalimi rakyat dengan
menjauhkannya dari Tuhan. Usaha membawa manusia kepada Tuhan dihalang. Ulama tidak lagi takut dengan Allah. Hasad
dengki menjadi-jadi. Pemuda pemudi hilang malu, hilang harga diri, budaya lepak kian menjadi-jadi. Pelajar-pelajar sekolah
terlibat dengan dadah, video lucah, vandalism, gensterism dan bermacam-macam kerja yang meruntuhkan akhlak.
Kenapa jadi demikian? Bolehlah dikatakan siapa yang berjuang bersungguh-sungguh, berkorban habis-habisan,
perkara-perkara lahir yang diburu itu biasanya mudah diperolehi. Sayangnya benda lahir yang diperolehinya belum boleh
dikatakan matlamat, sebab matlamat berjuang untuk mendapat kebahagiaan. Sedangkan kebahagiaan itu bukan terletak
pada benda lahir. Kebahagiaan itu pada hati. Roh yang merasai bahagia atau tidak. Kadang-kadang lagi berjaya manusia
mendapat harta benda dunia, manusia lagi gelisah dan tidak bahagia. Tepat seperti mana Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Tidak ada kehidupan di dunia ini melainkan harta benda yang menipu daya.” Kepunyaan Allah langit dan bumi,
Allahlah Tuhan manusia. Kepada Tuhan manusia sepatutnya mengabdikan diri. Untuk mendapat kebahagiaan, kenapa manusia
memburu makhluk Tuhan? Kenapa manusia berhabis-habisan kerana makhluk, harta benda, pangkat, wanita,
kuasa atau dunia? Kenapa Tuhan yang Agung yang memberi manusia rezeki, membela manusia, menyelamat, menyihatkan,
memimpin, mendidik, dan memberi segala-galanya tidak diburu, tidak dimiliki dan tidak berjuang mendapatkannya? Kalaulah
manusia berjuang memburu Tuhan macam memburu dunia, ramai manusia akan kenal Allah.
Apabila manusia kenal Allah dan faham akan kehendak Allah, mereka akan cinta dan takut dengan Allah. Perasaan cinta dan
takut yang mendalam ini boleh menguasai jiwa, fikiran dan tindak-tanduk manusia. Rasa cinta mendorong manusia membuat
sebayak mungkin kebaikan demi untuk yang dicintainya. Rasa takut pula boleh mendorong manusia meninggalkan kejahatan
sekali pun sedikit. Dengan rasa cinta dan takut kepada Allah sudah cukup membawa manusia hidup aman damai dan makmur.
Orang yang benar-benar mengenali Allah dan mencintai Allah, rasa berTuhan akan menguasai jiwanya. Dengan itu rasa
kehambaan secara automatik akan timbul, dan rasa hebat kepada Allah terus-menerus akan meresap ke jiwa, setiap masa
akan dibawa ke mana-mana. Rasa berbangga berTuhankan Allah terjunam ke hati sehingga Allah dijadikan pemimpinanya,
idolanya bahkan kawan setianya. Apabila rasa berTuhan dan rasa kehambaan itu tebal di dalam jiwa apa saja perintah Allah
dapat dilaksanalan dengan mudah.
Mereka adalah orang mukmin sejati. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: “sesungguhnya orang Mukmin ini
apabila diseru kepada Allah dan Rasul mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat.” Hamba Allah yang seumpama inilah
yang kuat mengamalkan syariat sama ada syariat lahir atau syariat batin. Inilah disiplin hidup mereka seharian, dipertahankan
sungguh-sungguh kerana syariat datang dari Tuhan yang dicintai. Lain-lain jalan, ideologi atau cara hidup akan ditolak; bahkan
jalan-jalan lain itu sememangnya perosak hidup manusia di dunia ini. Manusia yang mencintai manusia lain pun kalau dilihat
sudah luar biasa kehidupannya. Sanggup berkorban apa saja kepada yang dicintainya, tidak sanggup berpisah walaupun
sekejap. Jika terjadi perpisahan, jiwa menderita. Kalau boleh jangan ada sesiapa pun memisahkan mereka. Bagi pencinta
Allah, tentu lebih hebat dari itu. Allah dibawa ke mana-mana, dijadikan kawan setia, sehingga apa-apa masalah dirujuk.
Dia berlindung dengan kawannya yang agung kuasanya yang sentiasa membelanya. Berpisah dengan kekasihnya itu
seolah-olah mustahil.
Hidupnya bersama Tuhan, tidur bersama Tuhan, duduk bersama Tuhan, makan minum, berjalan, bermusafir, senang dan
susah bersama Tuhan, tida mahu bersendirian walau sesaat pun, semua yang dibuat Allah beserta dan reda dengan mereka.
Bagi mereka, Tuhan adalah segala-galanya. Apabila Tuhan tidak di hati semasa mereka membuat sesuatu, ertinya mereka
hidup tanpa Tuhan. Jiwa mereka akan menderita seolah-olah Tuhan sudah tidak mempedulikannya lagi. Tuhan amat Berkuasa
ke atas makhluk ciptaanNya. Kuasa yang ada pada makhluk adalah pinjaman, diberi oleh Allah buat sementara sahaja.
Bila-bila masa sahaja kuasa itu boleh diambil balik olehNya. Orang-orang yang hidup bersama Tuhan, amat sensitive dengan
Tuhan. Rasa Tuhan berkuasa itu sentiasa di jiwa mereka. Rasa takut kepada Tuhan yang bila-bila masa saja boleh berbuat
apa saja ke atas mereka, selalu saja menyerbu ke lubuk hati. Oleh itu rasa hina diri, rasa lemah dengan Tuhan membuatkan
mereka hidup merendah diri sesama manusia. sombong, takabbur, gila kuasa tidak ada tempat di hati mereka. Perasaan ingin
membantu dan menolong sesama manusia sentisa subur. Orang lain senang dengan mereka. Manusia akan berkorban apa
saja kepada yang dicintainya.
Bahkan pengorbanaan itu dirasakan indah. Seandainya Tuhan yang dicintai, sudah tentulah pengorbanan yang suci terjadi.
Pengorbanan yang tidak masuk campur nafsu dan syaitan. Satu pengorbanan suci yang sangat memberi manfaat kepada
masyarakat. Pengorbanana yang ikhlas kerana Allah, akan lebih dimanfaatkan dengan baik oleh masyarakat. Jika bentuk benda,
tenaga dan masa yang dikorbankan, ini tidak akan dibangkitkan atau dipolitikkan. Sebaliknya sesuatu pemberian jika diberi
atau dikorbankan bukan kerana Allah, pengorbanan itu umpama umpan, sedikit yang diberi mengharapkan sesuatu yang besar
diperolehi. Tertipu dan teraniayalah masyarakat. Orang-orang mukmin yang mencintai Allah, yang hidup mereka bersama Allah,
merasakan diri mereka lahir dan batin dan apa-apa yang mereka miliki semuanya kepunyaan Allah. Harta benda, kuasa,
pangkat dan wang ringgit yang ada pada mereka adalah amanah Tuhan bila-bila saja dikeluarkan apabila diperlukan. Mereka
tidak merasa langsung bahawa itu adalah hak mereka. Riya’, ujub, rasa megah tidak ada di hati. Jadi berkorban itu bukan
sesuatu yang berat bagi mereka. Dalam sejarah, Sayidina Abu Bakar mengorbankan seluruh harta bendanya. Apabila ditanya
apa yang tinggal lagi, jawabnya hanya Allah dan Rasul. Sayidina Abu Bakar menyerahkan seluruh harta benda, tenaga, jiwa
raganya untuk Allah. Penyerahan dirinya kepada Tuhan adalah secara total, lahir dan batin. Lahirnya yang nampak berupa
harta benda tapi puncanya dari batin Sayidina Abu Bakar yang sudah tunduk, patuh dan menyerah secara total. Hati Sayidina
Abu Bakar sudah bulat menyerah kepadaNya. Sabarnya, redhanya, syukur dan tawakkalnya hanya kepada Allah. Begitulah
orang Allah yang dididik oleh Rasulullah SAW. Hati Sayidina Abu Bakar dibawa berkenalan dengan Tuhan yang akhirnya
mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwa.
Jadi berjuang membawa manusia mengenal dan mencintai Allah adalah sesuatu kebenaran. Jalan ini tidak ada siapa boleh
menolaknya. Sudah terbukti dalam sejarah, para Rasul-rasul dan Nabi-nabi memakai kaedah ini. Rasulullah SAW berjuang
berkorban selama 13 tahun di Mekah untuk membawa manusia mengenali Allah dan mencintainya. Lahirlah para sahabat
yang terbilang, berjaya mencapai tamaddun kerohanian yang tinggi. Sehebat mendidik tabi’in menggunakan kaedah
yang sama. Tabi’in mendidik tabit-tabi’in pula. Akhirnya dua pertiga dunia mereka takluki dengan berbekalkan rasa kehambaan
dan rasa ber Tuhan serta rasa cinta dan takut kepada Allah .
Berjuanglah membawa manusia kepada Allah, bukan kepada perkara-perkara lain. Apabila manusia sama-sama dibawa
kepada Allah, secara automatik hati-hati mereka bertaut kerana hati mereka sama-sama mencintai Allah, kasih sayang
terjadi dengan sendiri. Teretuslah keamanan dan kemakmuran, lahir dari jiwa-jiwa yang sudah bahagia. Merdeka dari
belenggu dunia. Sebaliknya berjuang membawa manuisa bukan ke jalan yang Allah reda seperti membawa manusia kepada
parti, pemimpin, ilmu pengetahuan, mengejar fadhilat dan lain-lain jalan yang bukan kepada Allah sekalipun kepada syariat
Allah dengan mengenepikan Allah adalah tidak betul. Buahnya untuk kebahagiaan dan keselamatan manusia tentunya tidak
tercapai, tetapi kesusahan, kegelisahan , kezaliman, jatuh menjatuhkan yang bakal terjadi.
Raidon Anenokoji