Kegagalan Rundingan Baling

Pada tanggal 29.12.1955, Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Rundingan damai di antara kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang telah dibuat pada 9 September sebelumnya. Rundingan damai ini diadakan di Baling, Kedah dan berlangsung di dalam empat sessi. Pihak kerajaan diwakili oleh Ketua   Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, En. David Marshall serta Dato’ Sir Tan Cheng Lock. Manakala komunis diwakili oleh Ching Peng, Chen Tian dan Abdul Rashid Mydin.Dalam rundingan itu Tunku Abdul Rahman telah menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan politik negara ini. Beliau meyakinkan pihak komunis bahawa Tanah Melayu sedang di dalam perjalanannya ke arah mencapai kemerdekaan dan dengan demikian mereka mestilah menghentikan keganasan.  Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa di atas apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat; yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan. Walau bagaimanapun kerajaan akan membuat penyiasatan ke atas mereka yang menyerah diri.

Mereka yang menunjukkan taat setia kepada kerajaan dan berhenti daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan haluan komunis akan dibantu bagi mendapatkan kembali taraf dan kedudukan asal mereka di dalam masyarakat serta untuk berdamping semula dengan keluarga mereka. Bagi yang lain pula kebebasan terhad akan dikenakan. Akan tetapi jika ada di antara mereka yang ingin pergi ke negeri China, permohonan mereka akan diberi pertimbangan yang wajar.

Setelah dua hari berunding, wakil-wakil kerajaan menyedari bahawa komunis hanya berniat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa apa-apa sekatan untuk mencapai cita-cita mereka. Maka dengan itu pada hari ini dalam tahun 1955, rundingan perdamaian di Baling ini ditamatkan tanpa mendapat sebarang persetujuan dari pihak komunis. Sesungguh- nya kegagalan rundingan itu walaupun mendukacitakan, namun dapat menunjukkan dengan sejelas-jelasnya tentang bahaya yang akan diperolehi seandainya kerajaan mahu berkompromi dengan komunis.

Tinggalkan jawapan