Persekutuan Tanah Melayu ditawan oleh Jepun

Februari 1, 2008

Oleh Arkib Negara Malaysia 

Pada tanggal 15.2.1942,Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun di bawah pimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Kejayaan yang dicapai adalah berikutan daripada penawanan Kolam Air di tengah-tengah Pulau Singapura. Pegawai Pemerintah Inggeris iaitu Jeneral Percival telah menyerah diri kepada pihak Jepun tanpa syarat.

Serangan yang telah dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Tanah Melayu bermula pada 8 hb. Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan dan peperangan itu adalah serentak dengan negara-negara lain seperti Hawaii, Hong Kong dan Filipina.

Kegagalan dalam perundingan diantara Jepun dan Amerika Syarikat di Washington pada tahun 1941 adalah merupakan punca yang membawa kepada tercetusnya peperangan. Wakil Kerajaan Jepun dalam perundingan itu ialah seorang Duta Khas iaitu Saburu Karusu.

Adalah ditaksirkan seramai 150 ribu orang tentera Jepun telah digunakan dalam serangan ke atas Tanah Melayu yang meliputi kira-kira lima ketumbukan dan dua pasukan kereta kebal serta Pasukan Kawalan Diraja iaitu angkatan perang Jepun di negeri China. Ini adalah satu angkatan perang yang cukup kuat dan besar mengikut perancangan yang diatur dengan teliti demi memperolehi kemenangan.

Diantara sebab-sebab lain yang membawa kepada kejayaan tentera Jepun di Tanah Melayu ialah :-

  1. Pihak Inggeris di Tanah Melayu tidak bersiap di segi ketenteraan untuk menghadapi peperangan. Disamping itu Angkatan Tentera Udara dan Laut Inggeris tidak dapat memberi perkhidmatan yang baik dibandingkan dengan Jepun yang menggunakan alat kelengkapan serta senjata yang lebih baik.
  2. Tentera Jepun juga mempunyai semangat keperwiraan dan pengalaman yang luas dalam menghadapi kesukaran peperangan. Manakala pertahanan Inggeris pula adalah lemah disebabkan kekurangan pengalaman dan latihan terutama dalam peperangan di hutan rimba seperti di Tanah Melayu.
  3. Pihak Jepun telah menyebarkan dakyah anti Inggeris kepada askar India di Tanah Melayu dalam perjuangan bangsanya merebut kemerdekaan di India. Kesannya tentera Jepun dapat mara tanpa halangan yang besar ke Tanah Melayu.

Dengan kejayaan tentera Jepun menawan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1942 maka berakhirlah kuasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu buat seketika. Langkah pertama yang di ambil oleh Jepun setelah berkuasa ialah menyusun semula dasar pentadbiran negeri, diantaranya ialah melucut jawatan dan menahan kesemua Pegawai Pentadbir Inggeris atau menghantarnya ke Siam untuk bekerja membina jalan keretapi maut.

Wanville copyright 2008.


Jepun mendarat di Khota Bharu, Kelantan

Februari 1, 2008

Oleh Arkib Negara Malaysia

08_12_1941_1980.gif (52481 bytes)

Pada tanggal 08.12.1941, tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Takumi telah mendarat di Pantai   Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Dengan pendaratan ini bermulalah serangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Tentera Inggeris di  bawah pimpinan Brigadier Kay yang mengetuai   ‘ 28th Indian Infantry Brigade’ telah tewas di dalam usaha mempertahankan Kota Bharu.

Sebelum mendarat di Kota Bharu, Jepun telah menandatangani Perjaniian Persahabatan dengan Thailand yang membenarkan Jepun mendarat dan mara ke Tanah Melayu melalui Selatan Thai iaitu melalui Singgora dan Patani. Semasa serangan ini, pertahanan di Tanah Melayu tidak cukup bersedia dan Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut Ialu menumpukan pertahanan di Singapura. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan.

Di Tanah Melayu hanya terdapat kira-kira 87 ribu orang askar iaitu askar Inggeris, India, Australia dan askar Melayu. Sebahagian besar askar Australia telah ditempatkan di Johor untuk pertahanan kawasan selatan. Hanya satu pasukan tentera India sahaja dihantar mempertahankan sempadan utara. Kekuatan pertahanan udara Tanah Melayu pula adalah terlalu lemah jika dibandingkan dengan kekuatan tentera udara Jepun.

Kubu pertahanan di Kota Bharu pula kecil. Walau bagaimanapun tentera Jepun mendapat tentangan hebat semasa pendaratannya di Kota Bharu. Setelah menawan Kota Bharu, tentera Jepun mara ke negeri Pahang. Sementara itu tentera Jepun dari Singgora dan Patani telah mara ke Kedah dan memecahkan pertahanan di Jitra dan Alor Setar. Kedua-dua ketumbukan tentera Jepun ini telah bergerak ke arah selatan dengan pantasnya. Tentera Inggeris dan Rejimen Askar Melayu telah berjuang bermati-matian tetapi akhirnya mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa berundur ke selatan.

Pulau Pinang jatuh ke tangan Jepun pada 17 Disember  1941. Dari Pulau Pinang tentera Jepun menggunakan perahu untuk mendarat di tempat-tempat ke selatan pantai  barat. Melalui cara ini mereka telah memerangkap tentera Inggeris yang sedang berundur. Ipoh telah jatuh ke tangan Jepun pada 27 Disember 1941. Pada Januari 1942, Jepun telah mematahkan pertahanan di Slim River.

Jepun menawan Kuala Lumpur pada 1 1 Januari 1942. Menjelang 31 Januari 1942 tentera Inggeris dan sekutunya terpaksa berundur ke Singapura. Dengan ini Jepun telah menakluki seluruh Semenanjung Tanah Melayu.Wanville copyright 2008.


Penubuhan ASEAN

Februari 1, 2008

Oleh Arkib Negara Malaysia 

Pada tanggal 08.08.1967, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand telah menandatangani satu pengisytiharan di Bangkok bagi menubuhkan satu pertubuhan kerjasama serantau yang dikenali sebagai ASEAN (Association of South East Asian Nations). Negara-negara tersebut telah diwakili oleh Menteri Luar masing-masing terdiri dari Tun Adam Malik (Indonesia), Tun Abdul Razak (Malaysia), Tuan Narcisco Ramos (Filipina), Tuan S. Rajaratnam (Singapura) dan Tun Thanat Khoman (Thailand).1

Cadangan menubuhkan satu pertubuhan bagi rantau Asia Tenggara telah mula disuarakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, YTM Tunku Abdul Rahman sejak tahun 1961 lagi, di mana pada tahun tersebut ASA (Association of Southeast Asia) yang  dianggotai oleh Malaysia, Thailand dan Filipina telah ditubuhkan. Kemudian diikuti pula dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963 dan dianggotai oleh Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Matlamat kedua-dua pertubuhan ini gagal kerana kurangnya sambutan dan timbulnya konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia serta tuntutan Filipina ke atas Sabah. Setelah mengalami sengketa-sengketa yang merugikan itu, pada hari ini dalam tahun 1967, kelima-lima negara Asia Tenggara ini telah mengeluarkan kenyataan bersama dan menandatangani satu pengisytiharan yang dikenali sebagai Pengisytiharan Bangkok/ ASEAN.

Pengisytiharan Bangkok ASEAN ini mengandungi 7 fasal yang merupakan objektif-objektif ASEAN:2

1. Memperhebatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan kebudayaan serantau dengan berusaha bersama-sama dengan semangat persamaan dan persaudaraan demi memperkukuhkan asas bagi satu masyarakat negara Asia Tenggara yang makmur dan aman.

2. Menggalakkan kerjasama dan saling bantu membantu atasi masalah bersama dalam lapangan ekonomi, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

3. Menggalakkan keamanan dan stabiliti serantau dengan mematuhi dan menghormati keadilan dan undang-undang Negara-negara Anggota dan mematuhi prinsip Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

4. Saling bantu membantu dalam lapangan latihan dan kemudahankemudahan penyelidikan, pelajaran, professional, teknikal dan pentadbiran.

5. Bekerjasama dengan bersungguh-sungguh untuk memaju dan memesatkan lagi pertanian dan perusahaan, mengembangkan perdagangan antarabangsa, membaiki kemudahan-kemudahan pengangkutan dan perhubungan serta meninggikan taraf hidup rakyat.

6. Menggalakkan pengkajian mengenai Asia Tenggara.

7. Memelihara hubungan yang rapat dan bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa dan serantau yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang sama serta mengkaji semua bidang untuk mengadakan kerjasama yang lebih rapat antara negara-negara anggota.

Di dalam Pengisytiharan itu juga dicatatkan cara-cara melaksanakan tujuan dan matlamat penubuhan, antaranya mengadakan Persidangan Tahunan Menteri-menteri ASEAN dan mesyuarat khas Menteri-menteri Luar; jawatankuasa-jawatankuasa sementara dan tetap pegawai-pegawai dan pakar-pakar akan dibentuk untuk menguruskan masalah bersama serantau. Tiap-tiap negara anggota akan membentuk Sekretariat Kebangsaan masing-masing untuk mengendalikan kerja-keija pertubuhan.

Dengan pengisytiharan ini maka lahirlah sebuah pertubuhan serantau yang mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama iaitu kerjasama, ekonomi, kemasyarakatan dan kebudayaan.

Wanville copyright 2008.


Residen Perak J.W.W. Birch dibunuh

Februari 1, 2008

Oleh Roseline Mapong Sabai

Pada tanggal 02.11.1875, Residen Inggeris, J.W.W. Birch telah terbunuh di Pasir Salak di negeri Perak akibat diserang oleh Seputum, Pandak Indut, Che Gondah dan Ngah Ahmad.

J.W.W. Birch telah dilantik sebagai Residen Negeri Perak pada 14 Disember 1874, berikutan dengan temetrainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Sebagai Residen, Birch diberi tugas sebagai Penasihat semua perkara dalam pentadbiran negeri Perak kecuali perkara yang berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Sebagai seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu, Birch tidak dapat berhubung dengan baik dengan masyarakat setempat. Tambahan pula beliau adalah jahil mengenai adat istiadat Melayu serta memandang rendah kebolehan Sultan dan pembesar-pembesarnya.

Dalam usaha melaksanakan sistem pungutan dan kawalan cukai Inggeris, Birch telah mengisytiharkan bahawa pungutan cukai hanya boleh dijalankan oleh pemungut-pemungut yang dilantik oleh Residen Inggeris.

Tindakan Birch yang sedemikian telah ditentang oleh Datuk Maharaja Lela dan Sultan Perak ialah Sultan Abdullah. Akibatnya pada hari ini dalam tahun 1875, Birch telah diserang oleh Seputum, Padak Indut, Che Gondah dan Ngah Ahmad. Dalam serangan itu J.W.W. Birch telah mati terbunuh.

Wanville copyright 2008.


Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen

Februari 1, 2008

Oleh Roslan Mohd. Radzi 

Pada tanggal 24.07.1874, Sultan Abdullah yang dilantik menjadi Sultan Perak berikutan dengan pengisytiharan memberi kuasa memungut cukai kepada Residen. Pengisytiharan ini telah diketepikan buat beberapa waktu kerana keengganan baginda menandatanganinya akibat daripada perlantikan dan perselisihan yang berlaku dengan J.W.W. Birch iaitu Residen Inggeris yang pertama di Perak.

Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas. Perselisihan Sultan Abdullah dengan Birch menjadi rumit apabila Birch tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Abdullah memajakkan kuasa memungut cukai di Muara Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina. Birch berpendapat kuasa memungut cukai itu hendaklah diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik olehnya. Dalam bulan Februari dan Mac, Birch telah mendesak Sultan Abdullah supaya menandatangani pengisytiharan yang membolehkan beliau mengambil alih tugas-tugas memungut semua cukai. Sultan Abdullah dengan disokong oleh Laksamana dan Menteri Larut enggan menandatangani pengisytiharan tersebut.

Sultan Abdullah telah bertindak menulis surat dan cuba menghantar wakil menemui Sir Andrew Clarke untuk meminta supaya Birch ditukarkan ataupun dihadkan kuasanya. Tetapi tindakan Sultan Abdullah itu telah gagal. Satu lagi perselisihan antara Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Perak dengan Birch telah terjadi apabila Residen bertindak melindungi hamba abdi yang melarikan diri. Orang-orang besar menganggap perbuatan ini sebagai satu cabaran kepada hak turun temurun mereka. Sementara itu Birch sekali lagi meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan berkaitan dengan kuasa memungut cukai tersebut dan Sultan diberi tempuh sehingga 20hb. Julai, untuk berbuat demikian kalau tidak jawatan baginda akan diturunkan. Memandangkan kepada ancaman ini, satu mesyuarat telah diadakan pada 21hb. Julai di Durian Sebatang dengan dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakil-wakil mereka kecuali Raja Yusof.

Hasil mesyuarat ini satu rancangan telah diatur untuk membunuh Birch yang dianggap telah merosakkan adat istiadat yang lama. Maharaja Lela sanggup menjalankan pembunuhan tersebut. Sultan Abdullah pula pada zahirnya akan menunjukkan perhubungannya yang biasa dengan Residen, dan bersetuju menandatangani pengisytiharan yang memberi kuasa memungut semua cukai kepada Residen. Dalam pada itu dengan cara sulit, Sultan Abdullah telah menghantar orang-orang baginda ke Pulau Pinang untuk membeli senjata bagi pemberontakan yang akan dijalankan. Akhirnya rancangan ini sampai ke puncaknya apabila Birch dibunuh dalam bulan November 1875 di Pasir Salak.

Wanville copyright 2008.


Jimat tenaga dengan IBM

Februari 1, 2008

MENYEDARI betapa pentingnya alam sekitar kepada manusia, syarikat teknologi maklumat (IT) seperti IBM mula memperkenalkan Projek ‘Big Green’ bagi penjimatan tenaga lebih efi syen untuk perniagaan.

Naib Presiden, IT Optimization dan Sistem Perisian IBM, Richard Lechner, berkata projek terbabit disasarkan kepada pusat data bagi korporat di mana tenaga menjadi isu utama selain kosnya yang boleh membantutkan kebolehan untuk berkembang pesat.

“Pelanggan boleh mengharapkan penjimatan besar.

Contohnya, pusat data berkeluasan 25,000 kaki persegi mampu menjimatkan 42 peratus tenaga,” kata Lechner.

Menurutnya, kebanyakan pusat data mengalami masalah kapasiti yang mencapai tahap maksimum sehingga mengehadkan kemampuan syarikat untuk berkembang.

“Hari ini kami membekalkan pelanggan dengan pelan tindakan kami untuk membolehkan pusat data mereka digunakan dengan sepenuhnya selain efi syen dalam penggunaan tenaga,” katanya.

Projek Big Green menggunakan kepakaran teknologi tenaga pintar untuk membolehkan lima pendekatan untuk memperbaharui tahap efi syen tenaga.

Ia termasuk diagnosis iaitu menilai prasarana sedia ada, membina atau mengemaskini tenaga pusat data, menjadikan prasarana IT ke arah maya, menguruskan tenaga pengurusan perisian dan eksploitasi penyelesaian penyejukan cecair.

Wanville copyright 2008.


Storan atas dalam standard

Februari 1, 2008

Oleh Husain Jahit
TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menggabungkan keseluruhan prasarana teknologi maklumat dan sistem pengurusan storannya di atas satu standard menggunakan rumusan pusat data Symantec Data Center Foundation (DCF).

Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan, TM, Ahmad Azhar Yahya, berkata kapasiti data TM meningkat setiap hari dan lebih banyak ruang diperlukan, sedangkan pengurusannya semakin rumit dan memerlukan belanja besar jika tidak ditangani dengan baik.

“Kapasiti data TM berkembang pada kadar 60 peratus dari 2002 hingga 2005, yang mana TM mengenal pasti bahawa di segmen itulah paling berpotensi untuk membuat pengurangan kos. TM adalah organisasi besar dan memiliki banyak cabang perniagaan.

“TM melakukan usaha memusatkan keseluruhan data sejak 2005 dan mula menilaikan rumusan Symantec sejak tahun lalu. Ia dipilih kerana kebolehpercayaannya serta kerjasama TM dengan Symantec terjalin sejak sekian lama,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Ahmad Azhar, terdapat dua pusat data TM ketika ini danmasih berasingan di antara Pusat Data TM dan Pusat Data Celcom. Walaupun begitu, kedua-duanya masih dalam proses disatukan sebagai langkah memudahkan dan penjimatan.

Jumlah keseluruhan data yang dikumpulkan daripada kumpulan TM ialah 23 terabait.

“Selain mengambil langkah penjimatan dalam keadaan jumlah data yang bertambah setiap hari, langkah itu diambil untuk mengoptimumkan kegunaan sedangkan selepas digabungkan masih terdapat banyak ruang boleh digunakan,” katanya.

Konsol pengurusan berpusat Symantec memberi kemudahan kepada TM untuk melihat keseluruhan prasarana ITnya dan berkebolehan mengesan dan mendapatkan kos serta keuntungan perkhidmatan yang disediakan menerusi Organisasi Perkhidmatan Berkongsi IT (ITSSO).

Symantec DCF ialah satu-satunya rumusan bersepadu yang membolehkan sesebuah organisasi besar seperti TM membuat satu standard di atas prasarana perisian yang konsisten daripada berbilang platform aplikasi, pelayan dan storan.

Ia termasuk Veritas NetBackup, Veritas Storage Fouandation, Veritas Sevrer Foundation dan produk pengurusan prestasi Veritas i3. Ia menggabungkan pelayan dan pengurusan storan di antara pusat data bagi membantu mengekalkan daya tindak balas terbaik, cekap dan operasi berterusan.

Menurut Pengurusan Besar – Malaysia, Symantec Corporation, CM Woon, usaha mempermudahkan persekitaran akan meningkatkan tahap kepantasan di keseluruhan persekitaran IT, di samping melindungan maklumat dan aplikasi serta mengurangkan kos.

“Kini TM mampu mengurangkan kerumitan dan mengambil langkah kawalan proaktif ke atas pusat datanya menerusi pengurusan sumber yang lebih baik. ITSSO kini masih diperingkat dalam saja, dan ia dijangka diperluaskan sebagai pusat keuntungan berasaskan perkhidmatan,” katanya.

Wanville copyright 2008.


OS Windows XP, Vista tak boleh digabung

Februari 1, 2008

ANDA tidak boleh memasang OS Microsoft Windows XP dan Windows Vista di dalam satu pembahagian cakera keras, tapi boleh dilakukan sekiranya anda membuat dua pembahagian dalam satu cakera keras. Kedua-dua OS terbabit mestilah diasingkan.

Wanville copyright 2008.


Taman hidupan liar Borneo

Februari 1, 2008

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah


Zoo Lok Kawi pelihara orang utan, monyet bangkatan, badak sumbu Sumatra, gajah Pygmy di habitat asal

BAGI pelancong dan penggemar hidupan liar yang berkunjung ke Sabah, peluang menyaksikan kelibat orang utan, monyet bangkatan (Proboscis Monkey), badak sumbu Sumatra dan gajah Pygmy di habitat asalnya tentunya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Walaupun kosnya agak mahal kerana lokasi untuk meninjau haiwan berkenaan terletak di kawasan terpencil seperti Sukau, Kinabatangan, Tabin dan Segama, ia bukan halangan, malah dianggap cabaran alam yang mengasyikkan.
Namun, dengan belanja yang mencecah ratusan ringgit bagi membiayai kos pengangkutan, penginapan dan pemandu pelancong, tidak ramai yang mampu berkunjung ke lokasi seperti itu dan berpeluang melihat haiwan endemik Borneo itu dari jarak dekat.

Bagi pelancong luar, soal kos mungkin tidak menjadi masalah dan sememangnya sering memilih lokasi seperti itu untuk menghabiskan percutian di Sabah sekali gus menjadikan mereka golongan paling ramai melihat secara dekat haiwan terbabit, berbanding warga tempatan.

Bagaimanapun, sejak awal tahun lalu, pelancong dan penduduk tempatan mempunyai pilihan lain untuk melihat haiwan itu secara dekat menerusi pembukaan Taman Hidupan Liar Lok Kawi di Putatan yang terletak hanya kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu.

GAJAH Borneo antara tarikan utama pengunjung Taman Hidupan Liar, Zoo Lok Kawi.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan meluangkan masa bersama keluarga mengunjungi satu-satunya taman haiwan terbesar menempatkan pelbagai spesies haiwan Borneo di Sabah itu yang juga dikenali Zoo Lok Kawi, diurus Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Walaupun letih, hampir seharian di situ dipenuhi dengan pelbagai pengalaman baru kerana dapat melihat secara dekat kira-kira 100 spesies haiwan termasuk burung, reptilia dan mamalia, selain menikmati keredupan taman botani yang disediakan Jabatan Perhutanan Sabah.

Walaupun tidak sehebat Zoo Negara, Zoo Taiping dan Zoo Melaka, penggemar hidupan liar pasti tidak kecewa dengan pelbagai tarikan dan kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di taman seluas 112 hektar itu.

Dengan bayaran masuk RM10 bagi warga tempatan dan RM20 bagi warga asing, pengunjung dibekalkan peta sebagai penunjuk arah untuk memulakan ‘pengembaraan’ dengan menyusuri jalan berturap sepanjang lebih satu kilometer yang di kiri kanannya menempatkan pelbagai habitat haiwan.

MONYET Bangkatan yang terdapat di Zoo Lok Kawi.

Berhampiran pintu masuk, pengunjung disapa keletah pelbagai spesies burung seperti kakak tua, burung hantu, merak dan tiung serta disaji spesies haiwan aktif pada waktu malam seperti musang dan harimau dahan.

Perjalanan seterusnya menemukan pengunjung dengan kumpulan rusa chital, burung emu, gajah Pygmy dan badak sumbu Sumatra, selain burung unta, beruang, harimau, orang utan, monyet bangkatan, seladang, memerang dan kancil.

Peminat burung pula berpeluang memerhati kelibat pelbagai spesies burung yang dilepas bebas dicelah kehijauan daun dan rimbunan pokok hutan dalam sebuah sangkar gergasi.

Di satu sudut, pihak zoo menyediakan tempat bagi pengunjung melihat haiwan reptilia seperti ular tedung, ular sawa, buaya, biawak dan kura-kura.

Di zoo ini, pengunjung tidak disediakan pengangkutan, sebaliknya diberi kebebasan bergerak dengan berjalan kaki dari satu habitat ke habitat lain.

Jika tidak tahan dengan terik mentari dan tidak membawa payung, pihak zoo ada menyediakan kemudahan menyewa payung dengan bayaran RM2.

Kalau letih berjalan, pengunjung boleh berehat di mana-mana enam pondok rehat sekitar zoo atau di mana-mana pondok pemerhatian haiwan yang disediakan di setiap habitat, lengkap dengan kipas dan kerusi kayu.

Dua tandas awam turut disediakan di kawasan zoo, manakala bagi pengunjung yang kehausan dan kelaparan, pihak zoo turut menyediakan sebuah kafe berhampiran habitat gajah untuk kemudahan mereka.

Bagi yang membawa kanak-kanak, pihak zoo ada menyediakan tarikan khas untuk mereka iaitu peluang menyertai aktiviti berkaitan hidupan liar di Zoo Kanak-Kanak dan menyaksikan persembahan haiwan di pentas amphiteater.

Di akhir lawatan, pasti tidak lengkap jika pengunjung tidak meluangkan masa mengunjungi taman botani yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan seperti halia, periuk kera, orkid dan herba.

Menariknya, di kawasan ini Jabatan Perhutanan menyediakan tempat perkelahan yang dilengkapi kemudahan pondok rehat dan tempat barbeku untuk pengunjung bersantai.

Suasana redup dipayungi kayu balak dan pokok getah tua serta bunyi aliran air anak sungai pasti mendamaikan pengunjung yang meluangkan masa berehat di kawasan ini.

Walaupun kunjungan ke zoo ini tidak sama seperti berkunjung ke habitat asal hidupan liar yang ada di Sabah, pengunjung pasti berpuas hati kerana dapat mengumpul banyak pengetahuan mengenai dunia haiwan.

Bagaimana ke sana

Untuk ke situ pengunjung boleh memandu sendiri atau menaiki teksi dari bandar raya Kota Kinabalu, pekan Putatan atau Donggongon, Penampang melalui Jalan Lama Penampang-Papar atau Jalan Putatan-Lok Kawi.

Fakta
Taman Hidupan Liar Lok Kawi

  • Terletak di Kilometer 10 Jalan Lama Penampang-Papar.
  • Kaunter masuk dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari termasuk cuti umum.
  • Tapaknya adalah bekas ladang getah milik syarikat British, Lok Kawi Investment Limited yang beroperasi dari 1909 hingga 1965.
  • Diwartakan sebagai taman zoologi dan santuari burung pada Oktober 1996 selepas kerajaan mengambil semula tanah di kawasan berkenaan pada 1979.
  • Dibuka kepada umum sejak awal tahun lalu dengan dikenali sebagai Taman Hidupan Liar Lok Kawi.
  • Tarikan utama taman ini ialah orang utan, gajah Pygmy atau speseis gajah Borneo, monyet bangkatan dan badak sumbu Sumatra.
  • Wanville copyright 2008.


    Ha Long Bay tarikan baru Vietnam

    Februari 1, 2008

    Oleh Mohd Idris Sulaiman


    PENIAGA menggunakan sampan menjual buah-buahan di perairan Teluk Ha Long.

    Keunikan 1,969 pulau batu kapur yang belum diteroka di utara Hanoi jadi tumpuan utama pelancong

    HA LONG Bay atau Teluk Ha Long yang terletak kira-kira 180 kilometer di utara Hanoi, Vietnam menjanjikan pemandangan indah dengan ribuan pulau batu kapur dan ratusan bot keluar masuk di perairan itu.

    Teluk itu dikatakan terbentuk daripada badan seekor naga dan sudah beberapa kali menjadi saksi kepada peperangan membabitkan negara itu dengan negara lain termasuk China dan Amerika Syarikat. Ribuan pulau yang bertaburan di teluk dianggap membantu menghalang tentera China mendarat di tanah air mereka.
    Ketika perang Vietnam, tentera Amerika Syarikat memasang banyak periuk api bagi meletupkan kapal tentera komunis yang bersembunyi di celah-celah ratusan pulau dan gua di perairan teluk berkenaan.

    Kini semua itu tinggal kenangan, kawasan itu terus menjadi tarikan pelancong dari Eropah terutama Perancis kerana keunikan ribuan pulau batu kapur yang kebanyakannya masih belum diteroka.

    Walaupun mempunyai perairan yang tenang, Teluk Ha Long tidak menawarkan pengalaman berjemur di pantai atau aktiviti menyelam kerana kadar garam dalam airnya terlalu tinggi menyebabkan penyelam sukar menikmati

    LATAR belakang batu kapur di Teluk Ha Long.

    pemandangan dasar laut.

    Apa yang menanti pengunjung ialah pemandangan menakjubkan tidak ubah seperti keadaan Hong Kong pada era 70-an apabila ratusan kapal perdagangan, bot pelancong dan nelayan berulang-alik belayar masuk dan keluar di kawasan teluk ini.

    Pelancong boleh memilih untuk belayar dengan bot yang mengenakan bayaran serendah RM40 sejam bagi meneroka keindahan 1,969 pulau batu kapur yang kebanyakannya belum dicemari oleh pembangunan.

    Halong Bay yang diisytiharkan sebagai satu daripada warisan dunia oleh Unesco pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-18 di Thailand pada 17 Disember 1994 itu, memang unik.

    LOKASI Ha Long Bay

    Antara gua batu kapur yang paling terkenal ialah Gua Hang Dou atau Grotte des Merveilles yang diterokai oleh warga Perancis pada abad ke-19. Bahagian dalamnya memaparkan pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit hasil hakisan air dalam gua sejak jutaan tahun lalu. Pelbagai bentuk yang menakjubkan seperti obor-obor, gajah, monyet dan naga begitu mengasyikkan pengunjung yang melewati dasar gua.

    Malah, kehebatan gua itu dapat dilihat daripada kesan haus tangga batu kerana hampir jutaan pelancong ke sini jika melancong ke Hanoi.

    Selepas puas menaiki bot, pelancong boleh ke pantai di pulau Tuan Chau dan Cat Ba. Paling menarik, ada banyak penempatan nelayan bertaburan di sepanjang persisiran pantai pulau ini termasuk kemudahan chalet dan rumah tumpangan.

    Beberapa pulau lain mempunyai kampung nelayan yang didirikan di atas air yang turut dimanfaatkan penduduk untuk menternak lebih 200 spesies hidupan laut.

    Selain itu, pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di tengah laut dan melepaskan ‘ketagihan’ memancing dengan membeli joran serta umpan daripada penduduk tempatan dengan harga kira-kira RM8.

    Pelancong juga boleh menikmati buah-buahan tempatan yang dijual oleh penduduk menggunakan sampan mewarnai kehidupan perkampungan air di teluk itu.

    Sebelum pulang, anda seharusnya tidak melepaskan peluang melawat Opera House yang terletak bersebelahan Hotel Hilton. Berdekatan kawasan ini juga tersergam panggung Water Puppet Show, yang mempersembahkan seni rakyat Vietnam yang sudah beberapa kali memenangi anugerah pada peringkat antarabangsa.

    Di sini juga terletak Old Quater, syurga membeli-belah untuk pelancong. Ada 16 jalan kecil menjual 16 jenis barang berlainan termasuk seramik, cenderamata, permainan kanak-kanak, permata dan sutera Vietnam untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.

    Wanville copyright 2008.