Kehidupan desa Homestay Sungai Sireh

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PESERTA program Homestay Sungai Sireh, berehat di sawah yang luas terbentang.

Percutian homestay berimpengalaman baru kepada pengunjung  alami kehidupan, aktiviti penduduk kampung

JIKA bercakap mengenai kehidupan di tepi sawah padi, pasti ramai yang tergambar akan masyarakat petani di negeri utara Semenanjung seperti Kedah dan Perlis.

Namun, warga kota Kuala Lumpur tidak perlu memandu sejauh itu untuk menikmati kehidupan yang jauh daripada hiruk-pikuk dan kesesakan bandar raya, sebaliknya hanya perlu memandu kira-kira dua jam untuk sampai di satu perkampungan dinamakan Sungai Sireh di Kuala Selangor.

Selain sawah padi, pengunjung juga boleh melihat dan menikmati pemandangan menghijau di kampung itu serta sungai yang melaluinya.

Cara terbaik untuk merasai kehidupan di kampung, terutama bagi orang bandar yang tidak pernah berpeluang hidup dalam suasana tenang dan aman, ialah dengan menginap di homestay di kampung itu.

PENGUNJUNG berpeluang melihat cara tradisional menghasil beras.

Homestay Sungai Sireh sudah beroperasi lebih 10 tahun lalu dan kini diusahakan 35 keluarga. Program homestay di kampung itu memberi peluang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa mengalami kehidupan petani yang mengerjakan sawah padi.

Pengurus Homestay Sungai Sireh, Abu Bakar Moin, berkata program homestay di kawasan itu dimulakan pada April 1995 dan peserta menawarkan pelbagai pakej untuk disesuaikan dengan kehendak pelancong.

Katanya, setiap pakej dilengkapi pelbagai aktiviti menarik yang membolehkan pelancong menikmati kehidupan dan keindahan alam sekitar di kawasan itu serta kawasan berdekatan.

“Selalunya pada malam pertama, kami akan membawa pelancong melihat keindahan dan keunikan kelip-kelip di Kuala Selangor.

LOKASI perkhemahan Homestay Sungai Sireh.

“Pada keesokannya, kami akan membawa mereka melihat sendiri bagaimana penduduk mengerjakan sawah padi dan kebun sayur masing-masing,” katanya.

Abu Bakar berkata, pada musim menuai, pelancong juga berpeluang melihat sendiri cara tradisional untuk memproses padi menjadi beras dengan menggunakan lesung dan indik.

Jika datang sebelum musim menuai, katanya, mereka juga akan dibawa memancing belut di tali air berdekatan.

Bagi mereka yang mengambil pakej tiga hari dua malam, mereka boleh menyaksikan persembahan kebudayaan setempat seperti tarian kuda kepang, cempuling dan ghazal yang dipersembahkan penduduk.

“Selain itu, kami juga mengadakan acara ‘jungle tracking’. Program homestay di sini mendapat sambutan hangat daripada ramai pelancong. Malah, ada pelancong mengatakan mereka seperti tidak cukup masa untuk menikmati apa yang kami sediakan,” katanya.

Lebih menarik, pakej yang disediakan juga berbeza mengikut keadaan seperti musim cuti sekolah, khusus untuk anak muda serta pakej biasa.

Pelancong juga berpeluang menikmati pelbagai makanan setempat yang mungkin tidak pernah mereka nikmati selama ini seperti ulam dan pelbagai buah-buahan tempatan.

Mereka juga tidak perlu bimbang dengan kemudahan asas di rumah peserta kerana setiap peserta menyediakan kemudahan yang selesa dan mencukupi.

Pelbagai aktiviti lain mengenai kehidupan sebenar masyarakat Melayu yang menerangkan nilai kerjasama masyarakat kampung turut diadakan sepanjang lawatan, antaranya kenduri perkahwinan atau kenduri keraian biasa.

FAKTA: Homestay Sungai Sireh

  • Sungai Sireh terletak di daerah Kuala Selangor, sebuah desa pertanian yang menjadi pengeluar pelbagai buah-buahan tempatan, bunga-bungaan dan pelbagai jenis hasil semula jadi.
  • Terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Tanjung Karang.
  • Pelbagai pakej percutian homestay termasuk pakej sehari, pakej dua hari satu malam, pakej remaja balik kampung dan pakej jom jengok desa.
  • Antara tarikan di kawasan sekitar ialah kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
  • Pelancong diberi peluang mendekati aktiviti pertanian yang dijalankan.Bagaimana ke sana?
  • Pelancong boleh memandu sendiri untuk ke Sungai Sireh melalui Lebuh Raya Utara Selatan sebelum masuk ke persimpangan di Sungai Buloh dan meneruskan perjalanan ke Tanjung Karang melalui Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor.
  • Kira-kira 5 kilometer selepas pekan Tanjung Karang, terdapat satu simpang ke kanan menunjukkan jalan ke Sungai Sireh.
  • Pelancong juga boleh menghubungi agensi pelancongan yang menyediakan kenderaan untuk ke Sungai Sireh.
  • Wanville copyright 2008.

    Satu Respons bagi “Kehidupan desa Homestay Sungai Sireh”

    1. hasan Berkata:

      Selepas di Sg Sireh, datang kali ke dua ke Doranihomestay dan Papitusulem Homestays. Terdapat juga Batu 23 homestays, Airmanis Homestays, Sepintas Homestays dan Seri Kayangan Homestays. Kini terdapat 454 rumah homestays dalam Negeri Selangor-keterangan Lanjut hubungi Hj Hasan 019-3066655

    Tinggalkan jawapan