Oleh Arkib Negara Malaysia
Pada tanggal 08.08.1967, Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand telah menandatangani satu pengisytiharan di Bangkok bagi menubuhkan satu pertubuhan kerjasama serantau yang dikenali sebagai ASEAN (Association of South East Asian Nations). Negara-negara tersebut telah diwakili oleh Menteri Luar masing-masing terdiri dari Tun Adam Malik (Indonesia), Tun Abdul Razak (Malaysia), Tuan Narcisco Ramos (Filipina), Tuan S. Rajaratnam (Singapura) dan Tun Thanat Khoman (Thailand).1
Cadangan menubuhkan satu pertubuhan bagi rantau Asia Tenggara telah mula disuarakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, YTM Tunku Abdul Rahman sejak tahun 1961 lagi, di mana pada tahun tersebut ASA (Association of Southeast Asia) yang dianggotai oleh Malaysia, Thailand dan Filipina telah ditubuhkan. Kemudian diikuti pula dengan penubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963 dan dianggotai oleh Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Matlamat kedua-dua pertubuhan ini gagal kerana kurangnya sambutan dan timbulnya konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia serta tuntutan Filipina ke atas Sabah. Setelah mengalami sengketa-sengketa yang merugikan itu, pada hari ini dalam tahun 1967, kelima-lima negara Asia Tenggara ini telah mengeluarkan kenyataan bersama dan menandatangani satu pengisytiharan yang dikenali sebagai Pengisytiharan Bangkok/ ASEAN.
Pengisytiharan Bangkok ASEAN ini mengandungi 7 fasal yang merupakan objektif-objektif ASEAN:2
1. Memperhebatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan kebudayaan serantau dengan berusaha bersama-sama dengan semangat persamaan dan persaudaraan demi memperkukuhkan asas bagi satu masyarakat negara Asia Tenggara yang makmur dan aman.
2. Menggalakkan kerjasama dan saling bantu membantu atasi masalah bersama dalam lapangan ekonomi, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.
3. Menggalakkan keamanan dan stabiliti serantau dengan mematuhi dan menghormati keadilan dan undang-undang Negara-negara Anggota dan mematuhi prinsip Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.
4. Saling bantu membantu dalam lapangan latihan dan kemudahankemudahan penyelidikan, pelajaran, professional, teknikal dan pentadbiran.
5. Bekerjasama dengan bersungguh-sungguh untuk memaju dan memesatkan lagi pertanian dan perusahaan, mengembangkan perdagangan antarabangsa, membaiki kemudahan-kemudahan pengangkutan dan perhubungan serta meninggikan taraf hidup rakyat.
6. Menggalakkan pengkajian mengenai Asia Tenggara.
7. Memelihara hubungan yang rapat dan bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa dan serantau yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang sama serta mengkaji semua bidang untuk mengadakan kerjasama yang lebih rapat antara negara-negara anggota.
Di dalam Pengisytiharan itu juga dicatatkan cara-cara melaksanakan tujuan dan matlamat penubuhan, antaranya mengadakan Persidangan Tahunan Menteri-menteri ASEAN dan mesyuarat khas Menteri-menteri Luar; jawatankuasa-jawatankuasa sementara dan tetap pegawai-pegawai dan pakar-pakar akan dibentuk untuk menguruskan masalah bersama serantau. Tiap-tiap negara anggota akan membentuk Sekretariat Kebangsaan masing-masing untuk mengendalikan kerja-keija pertubuhan.
Dengan pengisytiharan ini maka lahirlah sebuah pertubuhan serantau yang mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama iaitu kerjasama, ekonomi, kemasyarakatan dan kebudayaan.
Wanville copyright 2008.